Gabungan Luar Biasa Vanessa & Rebel Asia dalam Lagu To The Finish Line
- oleh Mohd Indera
- 1 hari lalu
Label terkenal Sony Music Malaysia mencipta sejarah dengan menyatukan dua nama besar dalam industri muzik tanah air, Vanessa Reynauld dan Rebel Asia, dalam sebuah lagu kolaborasi epik bertajuk “To The Finish Line”.
Lagu ini merupakan runut bunyi rasmi (OST) untuk filem e-sukan yang dinanti-nantikan, “Soloz Game of Life”, yang bakal ditayangkan pada 23 Januari 2025.
To The Finish Line bukan sekadar lagu tema, tetapi juga sebuah karya yang menggambarkan perjuangan, ketabahan, dan semangat yang menjadi inti pati kepada jalan cerita filem tersebut.
Filem ini menampilkan kisah penuh emosi dan aksi sengit yang mengangkat dunia Mobile Legends ke layar perak. Inspirasi untuk lagu ini datang terus dari tema filem yang memacu adrenalin.
Menurut Vanessa Reynauld, konsep lagu ini dicipta untuk melengkapkan naratif filem. “Idea lagu ini berdasarkan filem tersebut, dan ia dijadikan sebagai lagu penutup.
Sebab itulah tajuknya ‘To The Finish Line’. Ia benar-benar melengkapkan pengakhiran cerita filem ini,” jelasnya.
Rebel Asia pula menambah bahawa lagu ini dirancang untuk membawa elemen digital yang sesuai dengan dunia permainan video.
“Kami mahu menghasilkan sesuatu yang lebih digital kerana ia berkaitan dengan permainan video. Ia sangat serasi dengan konsep filem ini,” katanya.
Kolaborasi ini merupakan keputusan yang tepat, terutama sekali bagi Vanessa yang kagum dengan kebolehan Rebel Asia.
“Saya sangat suka cara Rebel Asia rap, jadi saya tidak teragak-agak untuk menghubunginya. Saya sangat gembira dapat bekerjasama dengannya,” katanya dengan penuh semangat.
Harapan besar diletakkan pada lagu ini untuk memberi inspirasi kepada para peminat. Vanessa berharap lagu ini bukan sahaja diterima dengan baik, tetapi juga menjadi kegemaran untuk dijadikan latar video TikTok sehingga ‘trending’.
Lagu “To The Finish Line” kini boleh didapati di semua platform penstriman digital seperti Apple Music, Spotify, dan YouTube Music.
Video muzik rasmi yang menampilkan elemen visual digital yang diinspirasikan dari filem ini akan dilancarkan secara eksklusif di saluran YouTube sonymusicMYVEVO tidak lama lagi.