FINAS Santuni Seniwati Lagenda Sarimah Ahmad Menerusi Program Ziarah Seni MADANI
- oleh Mohd Indera
- 1 hari lalu

Dalam usaha menyantuni penggiat seni veteran yang telah banyak berjasa kepada industri kreatif negara, Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) telah mengadakan kunjungan ke kediaman seniwati lagenda, YBhg. Dato’ Dr. Hajah Sarimah Ahmad, menerusi program Ziarah Seni MADANI.
Kunjungan itu turut dihadiri oleh Timbalan Menteri Komunikasi, YB Teo Nie Ching, yang menyampaikan sumbangan wang tunai dan barangan keperluan asas sebagai tanda penghargaan terhadap legasi seniwati ikonik era 1960-an dan 1970-an itu.
“Program Ziarah Seni MADANI ini adalah salah satu inisiatif penting untuk memastikan kebajikan dan kesejahteraan penggiat seni tanah air, khususnya mereka yang telah memberikan sumbangan besar dalam membangunkan seni dan budaya Malaysia,” kata YB Teo Nie Ching.
Dato’ Dr. Hajah Sarimah Ahmad, yang dikenali melalui lakonan cemerlang dalam filem-filem klasik seperti Ali Baba Bujang Lapok, Ibu Mertuaku, dan Madu Tiga, telah menerima pelbagai anugerah berprestij sepanjang kariernya, termasuk Pelakon Wanita Terbaik Festival Filem Malaya 1970 dan Festival Filem Malaysia ke-2 pada tahun 1980.
Turut hadir dalam ziarah ini ialah Ketua Pegawai Eksekutif FINAS, YBhg. Dato’ Azmir Saifuddin Mutalib, serta beberapa tokoh industri seperti Encik Rozaidi Abdul Jamil (Zed Zaidi), YBhg. PPJ Bersekutu (PA) Prof. Dato’ Sri Haji Ahamad Musa SO, dan YBhg. Dato’ Freddie Fernandez, Presiden KARYAWAN.
Menurut kenyataan FINAS, program Ziarah Seni MADANI ini mendapat sokongan daripada pelbagai organisasi, termasuk MAPIM, FELDA, Eco Marine Group of Companies, AHB Holdings Berhad, dan Angkasaraya Holdings Berhad.
“Dato’ Dr. Hajah Sarimah adalah seorang seniwati lagenda yang telah memberikan inspirasi kepada generasi baru. Melalui program seperti ini, FINAS ingin memastikan jasa dan pengorbanan mereka terus dikenang dan dihargai,” ujar Ketua Pegawai Eksekutif FINAS, YBhg. Dato’ Azmir Saifuddin Mutalib.
Program ini merupakan simbol komitmen FINAS untuk memperkukuhkan sokongan kepada komuniti seni tanah air dan memastikan penggiat seni veteran terus dihargai atas sumbangan mereka kepada negara.
Foto Oleh : FINAS.