Fazura Tidak Setuju Pelancaran Lagu Duet, Tidak Dimaklumkan Mengenai Keputusan Label
- oleh Mohd Indera
- 7 bulan lalu

Pengurus kepada pelakon dan penyanyi terkenal, Nur Fazura, iaitu Iman Tang, meluahkan rasa kecewa terhadap tindakan sebuah label muzik yang mahu melancarkan single duet berjudul Bertahan Demi Cinta hasil kolaborasi Fazura dan bekas suami, Fattah Amin.
Menurut Tang, pelancaran lagu ini dianggap tidak sensitif dan dilihat seolah-olah mengambil kesempatan di atas berita perceraian pasangan tersebut yang masih hangat diperkatakan.
Tang menegaskan bahawa pelancaran lagu ini tidak wajar diteruskan kerana ia akan memberikan gambaran buruk kepada semua pihak, termasuk Fazura, Fattah, dan pengurusan mereka.
“Perkara ini seolah-olah memperlihatkan mereka mahu meraih perhatian daripada kisah perceraian ini, yang mana bukanlah waktu yang sesuai untuk melancarkan lagu dengan tajuk seperti itu,” katanya.
Tang turut mendedahkan bahawa Fazura tidak tahu menahu mengenai cadangan untuk melancarkan lagu tersebut dan tidak bersetuju dengan pelaksanaannya.
“Fazura dan keluarganya tidak dimaklumkan oleh pihak label tentang keputusan untuk mengeluarkan lagu itu. Tambahan pula, Fazura tidak setuju kerana lagu tersebut dirakamkan beberapa tahun lalu, dan ini bukan masa yang sesuai untuk mengeluarkannya,” jelasnya.
Menurut Tang, dia tidak menguruskan kerjaya muzik Fazura yang kini di bawah tanggungjawab Universal Music Malaysia, tetapi beliau merasakan tindakan label tersebut tidak wajar.
Terdahulu, sebuah syarikat rakaman Indonesia memuat naik video di Instagram, mengumumkan pelancaran lagu Bertahan Demi Cinta di platform penstriman digital.
Berita ini timbul sehari selepas Fattah Amin melafazkan cerai talak satu di Mahkamah Syariah Petaling, menamatkan perkahwinan mereka yang telah berlangsung selama tujuh tahun. Pasangan itu mempunyai seorang anak perempuan, Nur Fatima Aisya, yang kini berusia empat tahun.