Ernie Zakri Cipta Sejarah di Times Square: Kejayaan Kedua di Papan Iklan Spotify
- oleh Mohd Indera
- 3 minggu lalu
Penyanyi bersuara emas, Ernie Zakri, sekali lagi mengharumkan nama Malaysia apabila beliau dipaparkan di papan iklan Spotify di Times Square, New York.
Ini merupakan kali kedua Ernie mencipta sejarah dalam kariernya, menonjolkan dirinya sebagai salah satu artis Malaysia yang berjaya dalam kempen global Spotify EQUAL.
Kemunculan semula Ernie di papan iklan berprestij ini mengesahkan lagi kedudukannya dalam industri muzik antarabangsa, memberikan inspirasi kepada para peminat dan penggiat seni tanah air.
Pengiktirafan ini datang selepas kejayaan lagu hitnya “Masing Masing,” yang telah dilancarkan dalam versi piano yang menyentuh hati, membolehkan para pendengar menikmati keindahan vokal dan lirik yang penuh penghayatan.
“Saya sangat terharu dan bangga dipilih sekali lagi untuk berada di Times Square. Ini adalah tanda bahawa kerja keras saya selama ini mendapat perhatian, bukan sahaja di Malaysia, tetapi juga di peringkat global,” ujar Ernie dengan penuh rasa syukur.
Lagu “Masing Masing” juga telah berjaya menembusi pasaran Indonesia, meraih tempat ke-8 dalam senarai Spotify Top 50 Indonesia.
Menurut Ernie, Masing Masing versi piano ini adalah hadiah istimewa buat peminat yang selalu menghargai keindahan lirik dan melodi dalam kesederhanaan.
“Saya percaya bahawa cara yang paling murni untuk menyampaikan karya seni adalah melalui pengurangan hiasan yang tidak perlu, membiarkan lirik dan melodi berbicara dengan sendirinya.
“Dalam setiap nota yang dimainkan, ada kenangan dan emosi yang terukir, menjadikan pengalaman mendengar lebih intim dan mendalam. Dengan pendekatan yang minimalis ini, saya berharap dapat membawa pendengar merasai inti pati sesebuah lagu suatu perjalanan perasaan yang tulus dan menyentuh hati,” katanya.
Dengan pencapaian ini, Ernie terus mengukuhkan kedudukannya di carta-carta popular, termasuk menjadi artis wanita Malaysia dengan pendengar Spotify bulanan tertinggi, sebanyak 3.1 juta.
Keberhasilan Ernie ini turut diiktiraf di Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH36), di mana lagu “Masing Masing” memenangi kategori Lagu Paling Boom Popular.
Ernie menyatakan rasa terima kasih kepada peminat setia, Ernienators, yang sentiasa memberikan sokongan padu kepadanya sepanjang perjalanan kariernya.
Pencapaian Ernie Zakri bukan sahaja satu kebanggaan buat dirinya, tetapi juga membuktikan bahawa artis tempatan mampu menakluki pentas antarabangsa, sekaligus menjadi inspirasi kepada generasi muda untuk terus mengejar impian mereka di persada dunia.