Emma Maembong mengesahkan bahawa dia dan bekas suaminya, Muhammad Shazli Azhar, telah bercerai dengan baik dan bahawa dia sudah tamat tempoh idah.
Emma memilih untuk berdiam diri dan tidak mahu mengeruhkan keadaan dan terus memuat naik foto bersama bekas suaminya di media sosial demi menjaga emosi anak-anaknya agar tidak terkesan dengan perpisahan. Menurutnya, dia ingin anak-anaknya melihat keluarga mereka tetap bahagia.
“Ya kami sudah bercerai dan saya sudah tamat tempoh idah,” katanya seperti dilaporkan Harian Metro.
“Saya akui perkahwinan ini bukan satu perjalanan yang mudah. Banyak dugaan yang perlu ditempuh,” ujarnya.
Menurut Emma, dia bersyukur kerana hubungannya dengan bekas suami masih baik dan masing-masing reda dengan perceraian yang berlaku.
“Walaupun sudah tidak bersama, hubungan kami masih baik. Masing-masing terima perceraian ini dengan berlapang dada dan matang. Kami juga anggap dugaan ini sebagai satu proses untuk memperbaiki diri menjadi lebih baik.”
“Fokus kami sekarang adalah membesarkan anak dengan sepenuh kasih sayang. Walaupun sudah tidak bersama, kami akan tetap buat aktiviti keluarga bersama-sama dengan dua cahaya mata kami,” tambahnya.
Emma dan Shazli mendirikan rumah tangga pada 20 Februari 2020, dan hasil perkahwinan itu, mereka dikurniakan dua cahaya mata lelaki.