
Syawal tahun ini bakal dimeriahkan dengan kehadiran sebuah lagu Raya yang penuh keceriaan dan keunikan, Balik Kampung…Gosip Raya, sebuah kolaborasi antara dua personaliti terkenal, Ain Edruce dan Sherry Alhadad.
Dengan sentuhan muzik moden dan lirik yang penuh humor, lagu ini menjanjikan pengalaman Raya yang lebih havoc dan menyeronokkan, berbeza dari lagu Raya biasa.
Lagu ini mengangkat elemen gosip yang biasa didengar ketika musim perayaan, namun dengan pendekatan yang lebih menghiburkan dan penuh makna.
Ain dan Sherry membawa tema ini dengan penuh keseronokan, menunjukkan bahawa perbualan di Hari Raya, walaupun kadang-kadang dianggap sebagai gosip, sebenarnya adalah cara untuk mengeratkan hubungan sesama keluarga dan sahabat.
Diterbitkan oleh Sony Music Entertainment Malaysia dan disokong oleh AEON dalam penerbitan muzik video, Balik Kampung…Gosip Raya memaparkan tema Seloka Raya – Dari Dulu Hingga Kini, yang menggabungkan tradisi dan elemen fesyen Raya yang penuh warna-warni.
Kerjasama ini menonjolkan komitmen AEON dalam memperkenalkan koleksi Raya yang menggambarkan semangat nostalgia sambil mengikut trend fesyen moden.
Dari gurauan ringan hingga kisah-kisah lucu yang menjadi sebahagian daripada tradisi Raya, lagu ini merangkumkan keseruan suasana perayaan dengan cara yang segar.
Selain Ain dan Sherry, muzik video ini turut menampilkan beberapa wajah terkenal seperti Hafiz Hamidun, Vanessa Reynauld, Adrianna Cinta, dan Kidd Santhe, yang menambahkan lagi kemeriahan dalam suasana perayaan.
Rakaman lagu ini juga menjadi satu pengalaman penuh gelak tawa, memandangkan Ain dan Sherry memang sinonim dengan keletah mereka yang ceria.
Menurut Ain, proses rakaman bukan sahaja mudah, tetapi penuh dengan kegembiraan. “Setiap kali selesai rakaman, pasti ada sesi ketawa panjang. Kami tidak pernah serius sepenuhnya!” katanya.
Sherry pula mengakui bahawa kadang-kadang mereka sendiri tidak dapat membezakan suara masing-masing dalam rakaman. “Mujurlah ada bantuan dari penerbit vokal, Afif Tirmizie!” tambah Sherry.
Dengan melodi yang mudah diingat dan lirik yang mencuit hati, Ain dan Sherry berharap Balik Kampung…Gosip Raya akan menjadi lagu yang tidak boleh dilepaskan sepanjang musim Raya.
“Kami mahu lagu ini menjadi iringan perjalanan pulang ke kampung, dan menghidupkan suasana Raya dengan lebih meriah!” kata Ain. Sherry pula berharap lagu ini turut memberi peringatan tentang pentingnya menghargai detik-detik bersama keluarga dan sahabat.
Kini boleh didengari di semua platform penstriman utama seperti Spotify, Apple Music dan YouTube, Balik Kampung…Gosip Raya juga boleh dimuat turun di iTunes atau dijadikan nada dering panggilan.
Dengan kehadirannya yang penuh keceriaan, lagu ini pastinya akan menjadi antara lagu Raya paling havoc yang dinantikan pada tahun 2025