Ikuti Kami:

Awie Himpun ‘Superfriends’ di Konsert Rock King Last Man Standing September Ini

Awie Himpun ‘Superfriends’ di Konsert Rock King Last Man Standing September Ini

Legenda rock tanah air, Dato’ Awie, bakal mengukir sejarah baharu dalam industri muzik menerusi konsert berskala mega, AWIE ROCK KING – LAST MAN STANDING 2026 yang dijadualkan berlangsung di Stadium Merdeka pada 12 September depan.

Konsert yang dianjurkan oleh Bombbay Legend Worldwide dengan kerjasama Ultimate Media ini bukan sekadar persembahan biasa, malah ia merupakan sebuah produksi epik yang menghimpunkan 40 tahun perjalanan seni beliau sebagai ikon rock negara.

Pengarah Eksekutif Bombbay Legend Worldwide, Zamberi Shaari atau lebih dikenali sebagai Bombay berkata, konsert ini akan menampilkan kelainan luar biasa dengan kehadiran empat kumpulan pemuzik (Superfriends) berbeza dan sembilan penyanyi jemputan (Star Superfriends) yang akan membawakan lebih 30 buah lagu hits sepanjang zaman.

“Tajuk ‘Last Man Standing’ adalah simbolik kepada keteguhan Dato’ Awie yang masih berdiri teguh mempertahankan identiti seninya meskipun setelah empat dekad mengharungi pelbagai fasa jatuh bangun dalam industri.

“Kami mahu konsert ini menjadi sebuah masterpiece. Dengan penglibatan puluhan pemuzik berkaliber yang dibahagikan mengikut kepakaran genre seperti rock dan pop, setiap segmen akan mempunyai identiti dan jiwa yang tersendiri,” katanya pada majlis pelancaran konsert tersebut di sini hari ini.

Sementara itu, Dato’ Awie menyifatkan pemilihan Stadium Merdeka sebagai lokasi konsert adalah kerana nilai sejarah dan ikonik tempat tersebut yang pernah menyaksikan pelbagai acara besar dunia.

Menyentuh mengenai susunan muzik, Awie menjelaskan beliau mahu lari daripada konsep ‘plug and play’ yang sering dipraktikkan dalam kebanyakan persembahan sebelum ini.

“Kita ada lebih 20 pemuzik yang akan dibahagikan kepada beberapa kumpulan mengikut segmen. Apa yang menarik, transisi antara pemuzik ini akan berlaku secara terus di atas pentas tanpa mengganggu perjalanan konsert.

“Peminat akan dapat melihat keunikan setiap pemuzik menonjolkan genre masing-masing, sementara saya pula akan berkolaborasi dengan sembilan penyanyi jemputan dalam pelbagai kombinasi termasuk duet dan trio,” jelasnya.

Awie menambah, konsert ini adalah dedikasi istimewa buat para peminat yang menyokongnya sejak era bersama kumpulan Wings sehingga ke fasa solo.

Antara pemuzik (Superfriends) yang bakal beraksi ialah Rudy Kristal (Gitar), Ujang Tukimon (Gitar Akuastik), Naimi Daini (Drum) dan bakal melibatkan penyanyi jemputan (Star Superfriends) dari Indonesia.

Tiket bagi konsert AWIE ROCK KING – LAST MAN STANDING 2026 dijual pada harga bermula RM98 sehingga RM5,998 (meja untuk 4 orang) dan boleh didapati menerusi platform iLasso Tickets.

Antara karya malar segar yang bakal membuai nostalgia penonton termasuklah Bara, Ratuku, Ukiran Jiwa, Taman Rashidah Utama, Di Penjara Janji, Tragedi Oktober, Sejati, Di Bayang Awan, Di Ambang Wati, Nostalgia Cinta, dan Misteri Mimpi Syakilla.