Awie dan KidDin Umum Jelajah Konsert Rockology 2025, North Chapter dan South Chapter
- oleh Mohd Indera
- 6 hari lalu

Dunia muzik rock tanah air bakal menyaksikan satu lagi peristiwa bersejarah apabila dua nama besar, Dato’ Awie dan Search Kid Din, mengumumkan pelancaran Jelajah Konsert Rockology 2025.
Jelajah Konsert Rockology 2025 akan bermula dengan North Chapter pada 21 Jun 2025 di Midtown Perda, Pulau Pinang, sebelum menuju ke South Chapter pada 5 Julai 2025 di EduCity Sports Complex, Johor.
Konsert ini dijangka akan mengumpulkan lebih daripada 15,000 peminat muzik rock dari seluruh Malaysia dan Singapura yang pastinya tidak mahu melepaskan peluang untuk melihat persembahan gempak dua legenda ini.
Dato’ Awie, yang tidak asing lagi dengan dunia muzik rock tempatan, berkata beliau menerima pelawaan untuk menyertai konsert ini kerana percaya akan misi yang dibawanya.
“Saya terima pelawaan untuk terlibat dalam Rockology Concert Tour 2025 kerana saya percaya pada misi dan semangat di sebalik jelajah ini. Ia bukan sekadar konsert biasa – ini adalah satu gerakan untuk menghidupkan semula jiwa rock tanah air,” katanya.
Menurutnya lagi, sebahagian daripada hasil kutipan konsert ini akan disalurkan kepada program Konsert Wings Dalam Penjara, yang bertujuan untuk memberi perhatian dan sokongan kepada komuniti yang memerlukan bantuan pemulihan.
Tiket untuk Jelajah Konsert Rockology 2025 – North Chapter kini telah mula dijual dengan harga yang bermula daripada RM98 (Standing) hingga RM218 (Seated) bagi memastikan ia dapat dinikmati oleh pelbagai golongan peminat muzik.
Tiket boleh didapati menerusi laman web rasmi rpm.ubertickets.asia, sementara butiran mengenai tiket untuk South Chapter akan diumumkan dalam waktu terdekat.
Dato’ Eddy Amir Salim, Pengarah RPM Group of Companies, yang juga menjadi tulang belakang di sebalik penganjuran konsert ini, menyatakan bahawa penubuhan RPM Group bukan sekadar gabungan syarikat, tetapi sebagai satu inisiatif besar untuk mengukuhkan industri hiburan Malaysia.
“Kami di RPM Group of Companies percaya bahawa dengan adanya sinergi antara Rumah Produksi Merah, RPM Events, dan RPM Labels, kami dapat menghasilkan karya yang bukan sahaja menghiburkan tetapi juga memberi nilai kepada masyarakat dan negara,” katanya.
Jelajah Konsert Rockology 2025 juga menjadi konsert pertama yang dianjurkan oleh RPM Events Sdn. Bhd., sebuah syarikat yang bernaung di bawah RPM Group of Companies.
Jelajah konsert ini dijangka menjadi titik permulaan untuk membawa muzik rock Malaysia kembali ke puncak yang lebih gemilang