Arab Saudi Teruskan Musim Haji Pada Tahun Ini Dengan Jumlah Yang Dihadkan
- oleh Editor
- 4 tahuns lalu
Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi telah memutuskan musim haji bagi tahun 1441h, akan diteruskan dengan jumlah jemaah yang terhad dari pelbagai negara yang sudah menetap di Arab Saudi.
Keputusan ini diambil untuk memastikan ibadah Haji dilaksanakan dengan selamat sambil melakukan semua langkah pencegahan untuk melindungi umat Islam dan mematuhi ajaran Islam dalam menjaga kesihatan dan keselamatan jemaah.
Kenyataan kementerian itu menyebut Kementerian Kesihatan Arab Saudi mengatakan bahawa risiko penularan coronavirus dijangkakan akan lebih menular tetapi belum ada vaksin yang tersedia untuk mereka yang dijangkiti penyakit ini.
Kementerian mengatakan akan menjadi satu cabaran untuk menjaga jarak yang tepat di kawasan yang ramai dan mencegah penyebaran virus.
Berdasarkan keprihatinan ini, Kementerian Haji mengatakan kerajaan Arab Saudi akan menjadikan keselamatan umat Islam dalam melakukan ibadah Haji sebagai keutamaan mereka.
Pada bulan April lalu, Arab Saudi menasihatkan umat Islam yang merancang melakukan ibadah haji untuk menangguhkan rancangan mereka.
Sementara itu Malaysia kekal dengan pendirian untuk tidak menghantar jemaah haji bagi musim 1441 Hijrah.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata, pembatalan itu turut membabitkan pemegang visa jemputan Arab Saudi atau visa Furada.
Jelasnya, beliau sendiri telah berhubung dengan Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi di mana satu kenyataan rasmi berhubung perbincangan tersebut akan dikeluarkan dalam masa terdekat.
“Berkenaan penghantaran jemaah haji, semalam (wakil) daripada Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi telah menelefon saya dan ceritakan hakikat.
“Insya-Allah saya akan buat satu kenyataan di mana dia (Arab Saudi) menghargai Malaysia, atas pandangan kita dan kerjasama yang kita lakukan bersama mereka.
“Jadi tahun ini memang kita tidak akan hantar sama ada jemaah haji atau Furada berdasarkan situasi terkini di Arab Saudi,” katanya pada sidang media di sini pada Selasa.