Ikuti Kami:

Angkasawan NASA Tiba Di Stesen Angkasa Lepas Antarabangsa

Angkasawan NASA Tiba Di Stesen Angkasa Lepas Antarabangsa

Angkasawan Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Amerika Syarikat (NASA) memasuki Stesen Angkasa Lepas Antarabangsa, Ahad selepas melakukan perjalanan bersejarah 19 jam, buat kali pertama dalam tempoh hampir sedekad, sekali gus satu kejayaan buat SpaceX dan syarikat swasta.

Ketibaan itu menyempurnakan pusingan pertama lawatan berkenaan, yang diwujudkan bagi menguji kebolehan kapsul Kru Naga.

Misi itu bagaimanapun hanya diisytiharkan berjaya selepas kesemua angkasawan berkenaan selamat pulang ke bumi beberapa bulan lagi.

Pintu kapal angkasa itu dibuka pada jam 1.02 petang (waktu Timur), ketika Bob Behnken dan Doug Hurley melaksanakan prosedur akhir, sebelum melintasi kawasan itu kira-kira 20 minit kemudian.

Berpakaian kemeja polo hitam dan seluar khaki, mereka disambut seorang lagi angkasawan AS, Chris Cassidy, selain dua angkasawan Russia, Anatoli Ivanishin serta Ivan Vagner.

Kelima-lima lelaki itu turut merakam foto, sebelum bercakap bersama pentadbir NASA, Jim Bridenstine dari bilik kawalan di Houston.

“Selamat datang kepada Bob dan Doug. Seluruh dunia mengikuti misi ini dan kami amat berbangga dengan apa yang anda berdua lakukan untuk negara,” kata Bridenstine.

Ketua angkasa lepas Russia, Dmitry Rogozin turut mengucapkan tahniah ke atas kedua-dua angkasawan berkenaan dan pemilik syarikat angkasa lepas persendirian SpaceX, Elon Musk atas pembinaan kapsul Kru Naga itu.

Kapsul berkenaan menghabiskan masa selama 19 jam pada kelajuan 28,000 kilometer sejam, sebelum memperlahankan kelajuan bagi proses persinggahan di utara China. – AFP

Komen
Loading...