“An Evening With Nadeera” Sold Out Dalam 3 Minit – Nadeera Hampir Menangis Terharu
- oleh Mohd Indera
- 1 minggu lalu

Penyanyi bersuara emas, Nadeera Zaini mencatat satu lagi pencapaian membanggakan apabila tiket showcase sulungnya bertajuk ‘An Evening With Nadeera’ habis dijual dalam tempoh hanya tiga minit selepas jualan dibuka secara dalam talian pada 1 Mei lalu, jam 12 tengah hari.
Showcase istimewa yang bakal berlangsung pada 30 Mei 2025 (Jumaat), jam 8.30 malam di Nero Event Space, PJPAC 1Utama itu akan menampilkan persembahan eksklusif di hadapan hanya 300 penonton, menjadikan ia acara terhad dan dinanti-nantikan oleh peminat setia penyanyi tersebut.
Nadeera yang terharu dengan sambutan luar biasa itu mengakui hampir menangis kerana tidak percaya apabila dimaklumkan mengenai jumlah jualan tiket yang laris dalam sekelip mata.
“Bila saya dapat tahu tiga minit tu dah sold out, saya rasa macam, ya Allah, betul ke ni? Mula-mula saya tanya pengurus saya, saya cakap, ada ke orang nak datang? Terima kasih kepada semua walaupun tempat duduk agak terhad,” katanya dalam satu sidang media di Kuala Lumpur.
Menurut Nadeera atau nama penuh Farah Nadeera Zain, 31, meskipun ada perasaan ragu-ragu pada awalnya, sokongan luar biasa yang diterima daripada peminat membuatkan beliau rasa amat bersyukur.
“Saya rasa macam nak menangis pun ada. Syukur itu hanya Allah saja yang tahu. Ini permulaan yang sangat baik buat saya.”
“Terima kasih sekali lagi kepada penyokong-penyokong saya yang telah membeli tiket. Semoga showcase ini menjadi satu kenangan yang terindah buat semua yang hadir,” tambahnya.
Showcase ini dianjurkan oleh Usanita Entertainment dan MASK Team akan menggunakan khidmat pengarah muzik berpengalaman, Sze Wan, yang akan mengetuai pemuzik pada malam tersebut.
Showcase ini turut mendapat kerjasama daripada Virus Ungu, Rocketfuel, M World Hotel sebagai hotel rasmi, serta Astro Gempak sebagai media digital rasmi.
Nadeera mula dikenali menerusi penyertaannya dalam program realiti Vokal Bukan Sekadar Rupa (2012) dan Mentor Legend (2014) di mana beliau menjadi protege kepada Zainal Abidin.
Kerjaya beliau terus melonjak selepas muncul sebagai juara Lagu Cinta Kita musim kedua pada 2020 dan juara Big Stage musim kelima pada 2023.
Terbaharu, lagu hit “Bukan Lagi Kita” ciptaan Hael Husaini dan Iqie Hugh bukan sahaja menjadi runut bunyi drama popular Curang Tanpa Niat, malah turut berjaya meraih tempat kedua di Anugerah Juara Lagu ke-39 baru-baru ini.
Beliau juga aktif merakam lagu tema untuk pelbagai acara termasuk Gempak Most Wanted Awards 2024 serta dua lagu raya berjudul “Meriah Lain Macam” dan “Dam Dim Dum Raya”, membuktikan kepelbagaian dan relevansi Nadeera dalam landskap muzik semasa.
Dengan sambutan luar biasa terhadap showcase pertamanya ini, jelas bahawa Nadeera kini berada pada fasa kemuncak kariernya — dan peminat pasti menantikan lebih banyak kejutan daripada penyanyi ini pada masa hadapan.