Ikuti Kami:

Amir Masdi Pilihan Untuk Konsert Search Gemuruh

Amir Masdi Pilihan Untuk Konsert Search Gemuruh

KUALA LUMPUR: Penyanyi popular, Amir Masdi, 28, menjadi pilihan Search sebagai penyanyi utama dalam Konsert Search Gemuruh di Zepp Kuala Lumpur yang bakal berlangsung pada 29 Jun depan, jam 8 malam.

Pemain gitarnya, Noordin Mohd Taib berkata, Amir menjadi pilihan mereka kerana dia mempunyai pakej seperti ramai peminat dan berkemampuan menyanyikan lagu-lagu rock.

“Dia antara penyanyi generasi baharu yang bagus. Dia sendiri seorang ‘rockers’ dari segi imej, gaya dan minatnya.

“Saya yakin dengannya. Lagipun, Amir seorang yang agresif di pentas. Ini yang kami mahukan. Saya mohon, sokonglah bakat-bakat tempatan,” katanya kepada Harian Metro.

Ditanya mengenai ketiadaan penyanyi Indonesia, Denden dan pemain bes, Yan dalam konsert itu, Noordin berkata, kedua-duanya tidak dapat bersama kerana terikat dengan komitmen lain yang sudah dipersetujui dari awal.

Tempat Yan akan digantikan pemain bes Barbarik, Rozaimi.

Mengulas lanjut, Noordin menafikan berlaku konflik dalam Search berikutan ketiadaan Denden dan Yan.

“Sejak awal lagi, saya tidak pernah mengatakan Denden dan Yan adalah anggota tetap Search.

“Search adalah saya dengan pemain gitar utama, Kid sahaja. Denden dan Yan adalah pemuzik undangan dan mereka bebas bermain dengan sesiapa sahaja.

“Begitu juga dengan pemain dram, Minn yang turut memiliki band sendiri dan pemain keyboard, Firdaus yang banyak menjadi pemuzik undangan untuk penyanyi popular tanah air.

“Secara kebetulan, Denden dan Yan ada komitmen lain dan mereka tidak dapat bersama kami kali ini. Tiada masalah dalam dalam Search. Mereka bebas bermain dengan sesiapa dan ini perkara biasa,” katanya.

Selain Amir, konsert berkenaan turut menampilkan Ritz Metalasia, Muzza, Addy Cradle dan Jovita Pearl dari program X Factor Indonesia.

Sumber
BHarian, Harian Metro
Komen
Loading...