Adira Tepis Spekulasi Bersekedudukan Kerana Sering Live Bersama Datuk Red
- oleh Mohd Indera
- 5 bulan lalu

Adira Suhaimi tampil menafikan spekulasi yang mendakwa dirinya bersekedudukan dengan bekas suaminya, Datuk Red, hanya kerana kerap muncul bersama dalam video siaran langsung di media sosial.
Penyanyi itu menegaskan bahawa kehadiran Datuk Red dalam video-video tersebut hanyalah untuk membantu perniagaan yang mereka usahakan bersama, dan tidak melibatkan sebarang hubungan peribadi yang mencurigakan.
“Saya masih ibu tunggal dan kami tidak tinggal serumah. Jika live bersama pun, ia hanya untuk urusan perniagaan. Dalam rumah saya ada 16 orang, jadi tiada apa yang perlu dirisaukan,” jelas Adira.
Adira turut meminta orang ramai untuk memahami bahawa niat mereka dalam setiap siaran langsung adalah murni, dan menggesa agar spekulasi liar dihentikan.
Kehadiran Datuk Red hanyalah untuk membantu perniagaan serta melawat anak-anak mereka, tanpa sebarang unsur yang melanggar batas.
Beliau turut menyatakan bahawa mereka mengekalkan hubungan baik demi kebajikan anak-anak, dan soal jodoh diserahkan kepada takdir.
“Kalau ada jodoh, adalah. Kalau tiada pun tidak mengapa. Yang penting, kami fokus pada kebajikan anak-anak,” tambah Adira.
Untuk makluman, Adira dan Datuk Red telah mendirikan rumah tangga di Songkhla, Thailand pada 3 Disember 2015 dan disahkan bercerai pada 24 April lalu.
Dalam pada itu, Adira juga menyatakan keterujaannya untuk membuat persembahan di konsert A Night With Sumandak Stars bersama rakan-rakan artis Sabah seperti Marsha Milan, Stacy, Nikki Palikat, Bella Astillah, Wani Kayrie, dan Didi Astillah.
Konsert berkenaan bakal berlangsung pada 30 November bertempat di Zepp Kuala Lumpur. Pembelian tiket boleh dibuat di laman web www.ticket2u.com.my.