Usahawan dan pempengaruh media sosial, Datuk Seri Adnan Abu atau lebih dikenali sebagai Datuk Red, 47, baru-baru ini mencuri perhatian netizen apabila meluahkan rasa cemburu terhadap pelakon terkenal, Fattah Amin.
Rasa cemburu ini timbul apabila bekas isterinya, yang kini juga rakan niaga beliau, penyanyi dan pelakon Adira Suhaimi, dikatakan akan menjalani penggambaran bersama Fattah.
Dalam nada berseloroh, Datuk Red menjelaskan bahawa perkembangan teknologi pada masa kini menjadikan penggambaran lebih mudah, dan secara gurauan menyarankan agar Adira dan Fattah tidak perlu bertemu untuk menjalani sesi fotografi.
“Zaman sekarang dah canggih, kau photoshoot hari Selasa dan Fattah hari Rabu. Nanti gabungkan je gambar tu, aku pun pandai buat lah. Aku dah pandai edit sekarang. Tak perlu pergi jumpa dia, dah kenapa,” ujar Datuk Red sambil ketawa.
Tambahnya lagi, dia juga mampu membuat suntingan yang boleh menghasilkan gambar di mana Adira seolah-olah mendukung Fattah tanpa mereka perlu bertemu.
“Aku edit kau dukung dia pun boleh, tapi kau tak jumpa dia. Tak perlu pun nak jumpa,” katanya dengan nada gurauan yang mengundang gelak tawa daripada pengikutnya di media sosial.
Netizen turut terhibur dengan kenyataan bersahaja Datuk Red, yang sering kali tampil dengan sikap ceria dan gurauan dalam perkongsian beliau di platform digital.
Di sebalik gurauan Datuk Red, hubungan beliau dengan Adira dilihat masih kekal harmoni walaupun setelah melalui pelbagai liku dalam kehidupan peribadi mereka.