“Ada Luka Yang Tak Boleh Disentuh” – Erma Fatima Akhirnya Buka Cerita Sebenar
- oleh MDaily Editor
- 20 Feb 2026 2:21 pm
Selepas sekian lama tidak duduk di kerusi pengarah, primadona seni tanah air, Erma Fatima, kembali mencuri tumpuan apabila mendedahkan naskhah terbaharunya yang diangkat daripada sebuah kisah benar yang cukup peribadi.
Menerusi hantaran di laman Instagram miliknya hari ini, Erma, 58, menyifatkan naskhah berjudul Jangan Panggil Aku Gus itu sebagai satu perjalanan emosi yang selama ini disimpan kemas daripada pengetahuan umum.
Bagi Erma, keputusan untuk kembali mengarah bukanlah satu perkara yang dilakukan secara melulu, sebaliknya beliau menunggu masa yang benar-benar tepat untuk mendedahkan ‘luka’ yang terkandung dalam penceritaan tersebut.
“Sebenarnya saya sudah lama tunggu waktu yang sesuai. Ada cerita yang tak boleh diceritakan terlalu awal. Ada luka yang tak boleh disentuh sebelum masanya,” katanya dalam perkongsian tersebut.
Kenyataan puitis namun penuh misteri itu memberikan gambaran bahawa projek ini mempunyai nilai sentimental yang tinggi buat dirinya, melangkaui sekadar sebuah karya komersial.
Mengulas lanjut mengenai naskhah itu, pengarah berpengalaman luas yang pernah memenangi pelbagai anugerah ini menegaskan bahawa tujuan beliau menulis skrip tersebut bukanlah untuk menuding jari atau menghakimi mana-mana pihak.
Sebaliknya, Erma mahu masyarakat melihat realiti di sebalik sepotong nama yang kadangkala boleh menjadi bebanan yang berat untuk dipikul oleh seseorang.
“Saya tidak menulis untuk menghukum atau membuka mata, sebaliknya tentang bagaimana nama boleh menjadi beban,” jelas beliau lagi.
Apa yang lebih menarik, naskhah ini bukan sahaja menampilkan sentuhan magis Erma, malah turut memperlihatkan kerjasama strategik antara bintang-bintang ternama dari Malaysia dan Indonesia antaranya Datin Seri Umie Aida, Vanidah Imran, Puteri Sarah, dan Anna Jobling, Lukman Sardi, Bima Samudra, Elina Joerg, dan Valentino.
Meskipun Erma masih belum memperincikan sama ada projek ini bakal muncul dalam format filem atau drama bersiri, kehadiran barisan pelakon A-list ini sudah cukup untuk membuatkan peminat seni tanah air ternanti-nanti naskhah ‘comeback’ daripada beliau.




