25 Tahun Perjalanan Rossa ‘All Access to Rossa 25 Shining Years’
- oleh Mohd Indera
- 3 minggu lalu
Penyanyi Terkenal Indonesia, Rossa menghasilkan filem dokumentari sempena 25 tahun perjalanan kariernya, kisah suka duka sebagai ibu tunggal turut diabadikan dalam filem ‘All Access to Rossa 25 Shining Years’.
Menjadi ibu tunggal selama 15 tahun bukanlah perkara mudah bagi penyanyi yang popular dengan lagu Pudar.
Seiring dengan judulnya, karya ini memaparkan sosok lain Ratu Pop Indonesia yang belum pernah diceritakan kepada sesiapa.
“Aku tidak banyak berbicara tentang hal-hal kehidupan privasi aku di media tapi untuk filem ini, sudah tiba masanya menjawab pertanyaan selama ini.
“Apabila menonton hasil dokumentari ini, aku begitu sedih melihat reaksi daripada orang sekeliling, tidak sangka mereka memandang aku sebegitu, sejujurnya amat terharu,” ujarnya dalam wawancara di Buletin TV3.
Memilih Malaysia sebagai salah satu lokasi tayangan dokumentarinya, Rossa berpendapat negara ini ibarat rumah kedua, justeru dia berbesar hati untuk menyiarkan filem sulungnya bagi tontonan peminatnya di sini.
Mengambil masa sekitar dua tahun untuk menyiapkan dokumentari autobiografi ini, ibu kepada Rizky Langit Ramadhan ini berkata, naratif kehidupan di dalam karya itu merupakan olahan dirinya sendiri.
Beliau berharap agar naskhah ini mampu menjadi pencetus inspirasi buat ibu tunggal dan bakal artis untuk terus bersemangat mengejar cita-cita.